nuffnang

Tuesday, February 4, 2014

Pintu suka hati


Awal-awal pagi kulihat Tok Man sudah bangun. Selesai solat subuh Tok Man terus bersiap. Disarung seluar lusuh, jaket hijau pudar. Serban merah putih dililit rapi diatas kepala.. Tok Man mencapai parang yang terselit di celah dinding lalu disisip di tepi pinggang

Sedang Tok Man bersiap-siap, isterinya membancuh air teh. Dimasukkan air teh ke dalam botol. Air teh itu buat bekalan Tok Man sehingga waktu makan tengah hari. Setelah menyarung but hitam yang bertanah, Tok Man terus menaiki motor. Motor Tok Man bukan Honda Cup. Tok Man sudah maju. Motor Tok Man Honda EX5 Class. Warna hijau. Tapi sudah juga berlumpur dan bergetah. Motor itu Tok Man guna untuk mengangkut hasil-hasil kebun. Getah, petai, durian, bendi... 

Waktu itu aku sedang bercuti sem. Lebih kurang satu bulan. Sengaja aku mahu mencuba kehidupan di kampung. Rasa masuk kebun. Bergelumang dengan tanah dan tahi ayam.. Kalau bukan sekarang bila lagi. 


"Bangun, bangun.. Gi kebun yok.." aku mengejut sahabatku merangkap bos aku untuk cuti kali ini.  Macam biasa selepas solat subuh dia akan melelapkan mata sebentar sehingga pukul 9. Lepas itu baru kami bersiap-siap. 

Hari ini sudah masuk minggu kedua. Kami baru nak membuat pagar. Bila hendak berkebun, pagar satu faktor penting.. Supaya tanaman tak di makan binatang ternakan ataupun dirosakkan babi hutan. 

Sebelum memasang pagar, lubang perlu dikorek. Tidak besar. Lebih kurang  setengah kaki kali setengah kaki. 

Alamak.. tadi keluar rumah tak bawa perkakas untuk mengorek. Habis kuku ni kalau nak korek pakai tangan. Lagi-lagi sekarang sudah dua minggu lebih tidak hujan. Tanah keras dan padat. 

Kulihat Tok Man berjalan menuju kawasan bersemak. Diselak-selak lalang yang meninggi. Tok Man menunduk, mencapai sesuatu.  Nah..... Cukup perkakas. Boleh korek lubang.

Jimat. Tak payah buat stor.