nuffnang

Showing posts with label story. Show all posts
Showing posts with label story. Show all posts

Thursday, November 3, 2016

Aku Budak SL1M Malaysia Airlines

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum WBT.

Aku perasan post ni ramai yang baca sebab aku cerita pasal SL1M Malaysia Airlines. Penceritaan aku sebelum ni sangat la bersepah dan tak professional. Aku baca balik pun penat sebab banyak sangat taip "haha". So, aku taip balik supaya nampak lebih baik dan korang pun senang nak baca. Baru nampak sikit macam lepasan SL1M Malaysia Airlines.

Masa tu aku ingat lagi, aku baru lepas habis satu kursus budak-budak lepasan universiti. One of aku punya member kursus ni share satu iklan. Open Interview. Skim Latihan Satu Malaysia (SL1M) Malaysia Airlines. Peh, Malaysia Airlines. Baru dengar nama je dah gah. Mesti yang kerja pun orang hebat-hebat. Senior aku pernah cakap, 90 'an dulu, orang dengar kerja Malaysia Airlines je memang orang terima buat menantu.

Aku agak ragu-ragu nak pergi masa mula-mula tu. Ye la kita sedar diri. Tak hebat mana. Tapi memang tepat pada masanya ada interview tu. Aku baru lepas accident, patah tangan. Sepengangguran aku tu, aku belajar kenal diri sendiri. Belajar sabar, positif dan yakin dengan kebolehan diri sendiri. Daripada tak nak tu, aku pergi jugak. Selagi tak cuba mana kita nak tau kan.

Serius ramai gila orang. Aku macam "aduh, boleh dapat ke ni". Masuk dewan, tunggu, isi borang. Lepas tu masuk bilik interview. Masa tu diorang buat group interview. Dalam lima, enam orang dan ada tiga orang panel. Aku kan baru lepas kursus lepasan universiti, memang aku gunakan la ilmu yang ada sebaik mungkin.

Alhamdulillah. Bulan May 2014 pergi interview, Jun 2014 tu dah masuk. Kitorang masa tu batch kedua. Batch paling ramai. Ada 160 orang. Batch sebelum tu ada la dalam 60 orang. Hari pertama aku datang lenggang kangkung. Tengok orang lain dah berpikul, bertarik dah beg. Sebulan kitorang training dekat Malaysia Airlines Academy. Separuh tidur hostel. Separuh tidur Hotel Holiday Inn. Awal-awal tu aku tak tidur hotel lagi. Ulang-alik Ampang-Kelana Jaya.

Sebelum aku masuk training, aku kerap tolong hantar arwah pakcik aku pergi check-up kat HKL. Dua minggu sebelum masuk training tu paling banyak masa aku spent dengan dia. Pergi hospital, beli barang, teman makan. Aku ingat lagi aku cakap kat arwah pakcik aku. "Pak Ngah, lepas ni dah tak boleh dah nak teman pergi hospital. Sebab aku nak masuk kerja."

Dua minggu aku masuk training, arwah pakcik aku meninggal. Aku tidur hospital masa malam arwah meninggal. Sebab makcik aku dah call siap-siap bagitau, pakcik aku dah nazak. Aku sorang je malam tu. Kalau aku tak pergi tidur hospital, mesti aku terkilan sampai sekarang.

Kat MAS Academy ni la aku belajar macam-macam. Pasal customer service, sistem check-in, announcement, dangerous goods, time zone, three letter code dan macam-macam lagi. Kena denda nyanyi lagu awan nano pun kat sini jugak. Best kat MAS Academy ni, stewardess semua training dekat sini jugak. haha. Hari-hari jumpa crush baru. kahkahkah.

Habis sebulan training, masuk airport. Bapak jakun. Besar gile mak ai aku nampak airport ni. Lagi-lagi nampak Boeing A380 lalu, besar nak mati. haha. Ok, kitorang dipecahkan kepada tiga bahagian kat customer service ni. Check-in counter, Pax handling dan foca. Aku dapat pax handling. Pax handling ni handle arrival and departure flight Malaysia Airlines je. Merasa la kejap masa tu duduk check-in counter, sebab diorang buat job rotation dua minggu.

Seingat aku masa tu ada la dalam dua minggu ikut senior. Lepas tu kitorang dah gerak sendiri-sendiri. Pandai-pandai la masa datang tu check task sendiri untuk hari tu. Kalau nasib baik, banyak la arrival. Kalau nasib tak baik, kena buat kapal-kapal besar. And biasa la mana-mana tempat pun akan ada senior yang perangai kekwat ni. Kalau datang pagi-pagi tu bukak task tengok dapat officer-officer kekwat ni, macam gelap hari aku hari tu. Why! why! Hmm. Aku layankan jela. Buat cara budak baru. Tapi lama-lama diorang tengok aku boleh buat kerja, diorang ok je.

Kerja pax handling ni senang. Koyak boarding pass, buat announcement, berlari dengan passenger, duduk delay team, jaga transfer desk, bukak pintu flight, tutup pintu flight. Tapi, tenang tak selalunya senang. Air yang tenang jangan disangka tiada buaya. huhu. Antara skill yang aku dapat kerja dekat pax handling ni, operation management (ini sudah pasti), problem solving, interpersonal dan communication skill. Dua yang utama pastinya operation management and problem solving. 

Bila bekerja dengan orang ni, biasalah. Isu sana-isu sini. Kena marah dengan officer, gaduh dengan passenger. Tiap-tiap bulan ada je rasa nak berhenti. Tapi aku tabahkan jugak la diri ni. Nak berhenti, bukan ada kerja lagi pun. haha. Hari-hari berikutnya kat airport, kitorang dah tak macam trainee dah. Sama je macam staf. Siap bila masuk budak batch baru, aku yang jadi senior ajar diorang.

Banyak sebenarnya kalau aku nak cerita pasal SL1M Malaysia Airlines ni. Duduk lepak sejam pun tak habis cerita. Aku suka sangat sebenarnya duduk airport ni. Paling best sebenarnya sebab jumpa macam-macam orang. Lagi satu mungkin sebab aku suka nak tolong orang. Rasa puas bantu selesaikan masalah orang. Dan tempat paling tepat sekali untuk itu, tak lain dan tak bukan ialah transfer desk. Best kot. Aku pernah kena maki tiga jam kat situ. Aku ingat lagi flight pergi New Zealand. Daripada pukul sepuluh malam sampai pukul satu pagi dia maki aku. Kesian mat saleh tu terlepas flight. Apa kan daya. Kutadah juga muka ini.

Pada yang nak try masuk airport tu dipersilakanlah. Tapi ingat, korang kena ada jati diri yang kuat. Airport tu macam-macam ada. Yang lain-lain tu, pandai la korang setel sendiri.

Sekian, terima kasih.

4/10/2018 11:25pm

+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++








Sunday, August 31, 2014

Dunia yang dicari

Kaki melangkah laju. Ada kapal yang hampir tiba. Berdebar jantung. Cemas. Mana tidaknya, kapal yang sepatutnya masuk setengah jam lagi akan tiba pada bila-bila masa. Bila check dalam ESS terkejut melihat masa terkini kapal yang akan masuk. Lagi terkejut bila telefon FOC dan jawapan yang diberi "Kapal dah landed". Langkah kaki makin aku cepatkan. Ah sudah, dari Satellite nak ke terminal M. Harap-harap ada Aerotrain yang menunggu. 


Nasib baik. Kapal belum masuk. Aku telefon SOC. Minta tolong bukakan pintu. Leceh. Harus begitu setiap kali. Dari jauh aku melihat kapal yang menghampiri gate A8. No pendaftarannyq betul. XN. Aku lihat jam. Ah sudah hampir Isyak. Magrhrib belum lagi. Lalu aku teringat Asar semalam yang belum diganti...

Friday, May 9, 2014

Enta pengamal ajaran mana

Tak faham aku. 
Ada ke sebab betul-betul tak faham atau cubaan sesetengah golongan yang cuba membuat aku tak faham, atau segolongan lain yang buat aku tak paham tentang apa sesetengah golongan yang lain sedang lakukan. Atau bahasa mudah untuk aku fahami apa yang diamalkan sesetengah yang lain menjadi persoalan sesetengah yang lainnya sehingga membuatkan persoalan mereka dipersoalkan lantas membuatkan orang macam aku penuh dengan tanda soal. 

Aku pandang kanan, aku pandang kiri. Telinga kanan dan kiri aku mula mengambil info-info baru. Otakku menelan. Diajar tidak mudah menolak atau berprasangka pada apa yang disangka-sangka tentang sangkaan mereka yang mengangka bahawa sangka-menyangka yang mereka lakukan itu benar. Juga diajar menolak sangkaan-sangkaan batil setelah diyakini kebatilannya. 

Duduk dalam surau aku mendengar ceramah. Keluar surau aku mendengar komen-komen seperti "Abang tak ambil apa yang ustaz ni bagi. Ustaz universiti ni. Apa dia tau. Apa amalam dia" Aku sekadar mendengar. Mungkin senyuman reaksi paling cemerlang boleh aku lakukan. Sesekali aku bertanya soalan-soalan biasa. Bukan dengan niat menyemarakkan, tapi lebih kepada niat bual bicara. Diskusi tidak juga sebab aku lebih banyak mendengar. 

Selama aku memerhati, aku kemudian berfikir sampai berasap otak yang sedang cuba menghidup enjin fikiran yang sekian lama terselesa dengan hidangan ilmu yang tersedia. Otak kanan kiri berdiskusi. Otak kanan mula menyangka-nyangka tatlaka otak kiri mengorek fakta-fakta yang tersembunyi sekitar otak lelaki yang penuh berselerak dengan minat, hobi dan potrait gadis-gadis idaman. 

Bila enjin otak aku sudah mula panas, aku mula mencari-mencari daripada seumber yang aku percayai. Ya, ini yang bagus. Bukan lagi hentam semborono. Apa-apa yang cuba aku sampaikan aku pastikan bersumber. Sumber yang semua golongan menerima. Dua sumber utama. Itu yang mudah.. Doaku pada yang menguasai kerajaan langit dan bumi seluruhnya. 'Tunjukkan aku jalan yang lurus'. 

Nanti bila orang tanya aku pengamal ajaran mana. 


Aku jawab, 'Saya mengamalkan pemakanan seimbang.' 


Monday, April 21, 2014

satu pintaku

Bila perkara seperti itu terjadi.

Satu je yang  daku pinta.. .. ..

Ya, benar-benar menggugat..
Sering saja hal sedemikian berlaku..
Bila berkata diri ini mahu kuat kembali, jalan itu ada ujian ini.
Tidak mahu tidak. Perlu juga ditangani.
Pintaku pada Raja di Langit dan dibumi..

Jagalah hatiku..

Hingga pada satu masa nanti, yang kau telah tetapkan waktunya.. sempurnakanlah..
satukanlah..

:)

*menanti hadiah Agung dengan sabarnya

Thursday, April 3, 2014

Sollu 'Ala Nabi

Ramai-ramai kulihat berjubah, berserban dan berselawat.
Berkumpul beratus ribu, berselawat tanda cinta pada Junjungan Nabi kita,
Muhammad S.A.W..

Kulihat mereka sungguh asyik. Menggoyang-goyang badan. Melambai-lambai tangan..
Di tengah-tengah lautan manusia aku hanya duduk membisu. Mengikut mana-mana yang kutahu.
Sambil-sambil itu aku melihat gelagat pengunjung lainnya menerusi skrin putih nun jauh di depan.

Aku cukup risau.
Apakah yang kulihat ini hanya fenomena semata-mata.
Apakah akan terjadi nanti bila fenomena ini kian suram
Bila mana fenomena yang lain pula yang muncul.
Saat itu apakah nasib jubah-jubah dan serban-serban yang kulihat hari ini.

Paling ku risau, benarkah kecintaan ini.? 
Adakah diikuti segala yang diajar Nabi kita. 
Nabi sudah lama pergi, penggantinya ulama-ulama yang ada pada masa kini.
Namun kini ulama juga dipersoal, dipertikai.

Aku harap kecintaan ini adalah benar. 
Semoga semakin ramai pergi solat berjemaah di masjid-masjid.
dan semoga majlis ilmu menjadi minyak..
Minyak yang mengisi bekas pelita...
Pelita mata hati.. 

Sollu 'Ala Nabi.. 


Tuesday, February 4, 2014

Pintu suka hati


Awal-awal pagi kulihat Tok Man sudah bangun. Selesai solat subuh Tok Man terus bersiap. Disarung seluar lusuh, jaket hijau pudar. Serban merah putih dililit rapi diatas kepala.. Tok Man mencapai parang yang terselit di celah dinding lalu disisip di tepi pinggang

Sedang Tok Man bersiap-siap, isterinya membancuh air teh. Dimasukkan air teh ke dalam botol. Air teh itu buat bekalan Tok Man sehingga waktu makan tengah hari. Setelah menyarung but hitam yang bertanah, Tok Man terus menaiki motor. Motor Tok Man bukan Honda Cup. Tok Man sudah maju. Motor Tok Man Honda EX5 Class. Warna hijau. Tapi sudah juga berlumpur dan bergetah. Motor itu Tok Man guna untuk mengangkut hasil-hasil kebun. Getah, petai, durian, bendi... 

Waktu itu aku sedang bercuti sem. Lebih kurang satu bulan. Sengaja aku mahu mencuba kehidupan di kampung. Rasa masuk kebun. Bergelumang dengan tanah dan tahi ayam.. Kalau bukan sekarang bila lagi. 


"Bangun, bangun.. Gi kebun yok.." aku mengejut sahabatku merangkap bos aku untuk cuti kali ini.  Macam biasa selepas solat subuh dia akan melelapkan mata sebentar sehingga pukul 9. Lepas itu baru kami bersiap-siap. 

Hari ini sudah masuk minggu kedua. Kami baru nak membuat pagar. Bila hendak berkebun, pagar satu faktor penting.. Supaya tanaman tak di makan binatang ternakan ataupun dirosakkan babi hutan. 

Sebelum memasang pagar, lubang perlu dikorek. Tidak besar. Lebih kurang  setengah kaki kali setengah kaki. 

Alamak.. tadi keluar rumah tak bawa perkakas untuk mengorek. Habis kuku ni kalau nak korek pakai tangan. Lagi-lagi sekarang sudah dua minggu lebih tidak hujan. Tanah keras dan padat. 

Kulihat Tok Man berjalan menuju kawasan bersemak. Diselak-selak lalang yang meninggi. Tok Man menunduk, mencapai sesuatu.  Nah..... Cukup perkakas. Boleh korek lubang.

Jimat. Tak payah buat stor.





Tuesday, January 28, 2014

Monday, January 20, 2014

Angkara lipas

Lama dah tak jumpa sahabat aku yang sorang ni. Dia ada lagi dekat depan Mydin tu. Dah setahun rasanya dia kat situ. Aku pun tak berapa pasti. Dari jauh aku sudah tersenyum apabila ternampak susuk tubuhnya yang besar.. Sedang menyiapkan burger yang dipesan pelanggan.

"Brom..Broom...Brom..!!" aku menghampiri sambil sengaja membisingkan kapcai yang setia ditunggang.. Dia pun tersenyum melihat aku.

"Sorang je hari ni?"
"Aah. Sorang je.."
"Tangan dah elok?"
"Dah elok da. " jawab aku tersenyum sambil sengaja mengangkat dan memusing-musingkan tangan kanan..

"Tengok M.U kejap lagi?"
"Tak kot"
"Teman aku eh sampai tutup kedai"
"Cun.."

Dalam dua jam dekat situ, banyak yang diceritakan. Tapi topik hari ni lebih kepada kerjaya dan pasangan. Nak buat apa lepas ni.. Nak kahwin dengan siapa.. Kawan-kawan yang rapat dengan aku semua takkan percaya kalau aku kata aku ada awek.. Memang aku tak pernah ada pun.. Secara official nya la.. 

"Tah kahwin dengan siapa la nanti" 
"Rilek. Perkemaskan diri dulu.."
"Hm. Betul la tu.."

Selepas mengemas dan menutup gerai. Aku dan sahabat pun pergi ke kedai makan yang berhampiran..

"Makan la doe.. Lepak dengan aku taknak makan.."
"Aku nak joging la esok pagi.. hihi..
"Apa doe kau. Lepak dengan aku taknak makan, takanak hisap rokok.."

Aduh member buat ayat touching.. Yela-yela aku makan..

"Nasi Goreng Kampung satu ye kak.."

Masa nak start makan tu tiba-tiba seekor serangga yang tak menyenangkan hinggap pada tisu.. Aku terus tarik satu tisu dan campak ke lantai..

"Terbang pulak dia.. Kalau hinggap kat nasi tadi memang aku..."
"Ktaang...!!"


Aduh..Malu besar. Aku nak buat gaya je.. Sekali terkena pinggan betul-betul.. Bersepah-sepah nasi.. Nasib baik tak terbalik terus pinggan.. Gelak besar aku dengan sahabat. Macam waktu dulu-dulu.. Waktu satu bilik. Satu kelas.


"Hahahahaha.hahahhahahaha..." pecah perut malam ni. Nasib baik dah tengah malam. Tak ramai orang..




Wednesday, January 8, 2014

WIFI Masjid Negeri

''Hah, 6 minggu?!" reaksi pertama aku apabila tiba pada hari pertama untuk program daurah di Masjid Negeri Shah Alam.
"Yeke.. Aku ingat lapan hari.. Yela, 18 sampai 26 haribulan kan 8 hari.. Rupanya November sampai Disember. haha."

Masa tu mula la rasa was-was tu datang. Nak teruskan ke tak nak. Lama tu 6 minggu. Aku bukan tau apa sangat pun. 

"Aku 3 minggu je tau. Nak masuk kerja dah bulan depan" alasan pertama yang aku bagi kat kadir
"Aku tak sure la.. Macam ada hal je nanti" alasan kedua
"Aku ada appointment dengan doktor la..." alasan yang berulang-ulang kali aku bagi. 

Akhirnya aku buat keputusan untuk teruskan. Insya Allah pasti ada sesuatu untuk aku disini.

Mula je daurah. Setiap hari adalah suka, gembira, penat, lelah.. Konflik sana, konflik sini. Masalah sana , masalah sini. Orang tu macam tu, orang ni macam ni. Budak ni perangai pesen ni, budak tu pesen lain pulak. Macam-macam hal.

Tapi habis je daurah. 6 minggu itu adalah  memori yang terindah. Setiap saat yang berlalu itu adalah kenangan terhebat. Mula merindui suasana daurah. Rindu teman-teman. Rindu adik-adik. Rindu nak buat semua benda sama-sama. Solat berjemaah bersama, baca ma'thurat bersama, hiking bersama, jadi PIC bersama, tidur bersempit bersama, makan bersama, Qasidah bersama, ketawa bersama, senyum bersama, angkat kerusi bersama, buat modul bersama, naik banana bot bersama, berkayak bersama, solat subuh tepi pantai bersama, nyanyi lagu tema bersama, jaga malam bersama.. .. banyak lagi. :')

Alhamdulillah. Allah yang takdirkan aku disitu. Banyak yang aku dapat. 
Sampai ke hari ni, mulut aku masih melagukan doa-doa yang diajar pada adik-adik, berqasidah Ya Badrotim setiap hari.
Sampai hari ni, masih terngiang-ngiang suasana daurah di Masjid Negeri. Suara kawan-kawan buat energizer.. Bagi nasihat, bagi arahan. Sampai hilang-hilang suara.
Sampai ke hari ni, aku masih berulang-alik ke masjid negeri kalau berkesempatan.

Masjid Negeri. Ada sesuatu di situ. WIFI nya sungguh kuat. Masih terasa walau berbatu-batu :)

Terima Kasih Ya Allah.. 


"Abang tak penat ke?" seorang budak bertanya
"Penat memang penat. Tapi betulkanlah niat. Insya Allah rasa seronok."

:)

Tuesday, April 30, 2013

4 am

Kipas berputar ligat di ruang tamu.. Tidak kalah. Dua kipas dengan kelajuan maksimum berputar. Sekujur tubuh disitu terbaring. Di atas tilam yang biasa. Cukup sekadar untuk mengalas badan. Tilam itu berukuran biasa. Standard nya untuk sebuah katil bujang. Ditarik ke ruang tamu. Kuasai kipas-kipas di situ. Ya siapa mahu lawan. Memang rutin biasa. Kipas dinding di bilik tidak cukup kuasa kuda mahu menyejukkan haba tiga orang manusia. 

Sekujur tubuh itu tidur. Terkadang terjaga. Berpusing kiri. Berpusing kanan. Semacam tidak selesa. Menyambung tidur juga walau separa sedar dan separa tidur. Dalam kedaan separa itu, bunyi kipas makin jelas. Terasa semakin laju. Semakin lama semakin laju. Laju dan laju.. Hingga tiba-tiba terasa suatu aura yang asing. Yang menaikkan setiap bulu roma. Setiap satu bulu roma berdiri tegak. Dari dada naik hingga kepala. Jantung umpama ternampak gadis idaman, yang tiba-tiba lalu melintasi. Atau mungkin lebih tepat, perasaan yang muncul bila rasa diperhati. Oleh sesuatu yang tak bisa dikesan pancaindera yang lima, tetapi yang enam.

Sekujur tubuh itu berjuang. Sesuatu cuba menguasai dirinya. Dicuba mengangkat tangan. Berat. Dicuba mengangkat badan. Berat. Mulut pula rasa terkunci. Tidak terkeluar kalimah-kalimah yang difikir. Terkatup rapat. Kalimah-kalimah Agung itu dibaca dalam hati. Dicuba sedaya upaya. Hingga akhirnya aura asing itu beransur hilang. Sedikit demi sedikit. Ah, lega. 

Mata dibuka. Empunya tubuh sudah sedar sepenuhnya.


Pintu bilik dibuka. Dua tubuh diperhatikan di atas katil masing-masing. Tidur nyenyak. 
Pintu ditutup kembali. Sekujur tubuh itu rebah semula diatas tilam diruang tamu. Di bawah kipas yang ligat berputar. Dengan kuasa maksimum. Dua buah kipas kembali dikuasai. Cuba untuk tidur kembali.


Bismillahirrahmanirrahim. Lalu tubuh itu tidur kembali. 

Sekian.



*Al-Fatihah buat arwah Tok Alang Madun yang meninggal dunia pagi ini jam 4.50pagi


Monday, April 1, 2013

KIsah Semangat


Pepatah Melayu ada menyebut, "Air yang dicincang tidak akan putus". Biar dicincang menggunakan pedang, biar dicincang Laksamana Melaka, air dicincang masih lagi bersatu. Masih lagi mengalir. Dari hulu ke hilir. Melalui bermacam rintangan di sungai. Dari mata air, melalui liku-liku sungai yang tajam. Yang lebar dan yang kecil. 

Kemudian air-air itu terus mengalir, laju dan semakin laju... Dan akhirnya menghampiri kawasan air terjun. Tiada berfikir untuk berpatah balik. Pasti akan melaui jalan itu. Berpegangan tanganlah molekul-molekul air itu. Melalui air terjun...

"Aaaaaaaaaa....!!!!!!!!" masing-masing menjerit.

Dugaan dalam penerjunan itu. Air-air itu ditiup angin.. Maka ada antaranya berterbangan dalam bentuk partikel-partikel air yang halus, terus beterbangan di tiup angin dan bertempiasan angkara deruan air terjun yang mengganas. Dan akhirnya hinggap di dahan-dahan pokok, batu-batu sekitarnya, juga melembapkan kawasan hutan berhampiran. 

Dan air yang jatuh pula terus terhempas ke atas air sungai di bawahnya. Juga yang menghempas batu-batu besar.

"Aduuh..!!" air dan batu sama-sama mengaduh.

Tetapi semangat air tidak terhenti disitu. Itu proses jutaan tahun. Diulang-diulang sekian lama. Dialir ke bandar-bandar, lalu ke bangunan-bangunan kerajaan, bangunan parti-parti pembangkang, kilang-kilang besar, kilang-kilang kecil, rumah-rumah pembesar, rumah-rumah saudagar dan petani kecil. Air-air itu terus lagi mengalir. Ke ladang-ladang, kebun-kebun besar dan kebun-kebun kecil. Tidak mengira pangkat dan harta, keturunan dan warna kulit. Juga agama. 

Air memberi kekuatan untuk terus hidup. Memberi sinar dan harapan. Memberi kesegaran dan kelegaan. Biarpun melalui pelbagai proses semulajadi dan modenisasi. Semangat air tidak pernah luntur. Masih setia. Untuk digunakan seluruh makhluk di bumi. Selagi masih ada bumi, selagi belum tiba hari tamatnya. Kekuasaan-Nya..

Semangat kita? :)






Monday, January 28, 2013

sehangat-hangat tahi ayam

Cuti sem tahun 3..

Panas, sangat panas.. Peluh yang mengalir terus membasahi muka, badan dan bajuku. Hari ini hari pertama..

"Ahh.. Patut bawak kain ni.." 

Aku terus mengangkat guni-guni berisi tahi ayam. Satu persatu.. Disusun diatas batas-batas yang dikira sebesar 'dua relung' di negeri Kedah ini. Aku tidak pasti ukuran sebenarnya. Jika dikira lebar, mungkin 20 meter. Panjangnya pula, sekitar 120 ke 140 meter. 

Ah.. Ini bukan mainanku.. Aku sungguh kepenatan. Memerhati dua orang rakan terus bekerja. Menyusun guni-guni tahi ayam di atas batas. Seorang merupakan sahabatku daripada sekolah menengah. Gigih. Inilah pilihannya.. Sebagai kerjaya mungkin. Setelah lapan bulan menjalani incubator sebagai seorang petani moden. Seorang lagi merupakan anak jati kampung ini. Sungguh, memang ini permainannya. Cekal, tampak berusaha demi mencari rezeki yang halal.

Titik-titik peluh. Membasahi bumi. Aku perlu segera mengangkat guni-guni yang selebihnya. Jangan dinampak seperti anak kota yang lemah. Mengalah sebelum mencuba.

Guni-guni tahi ayam itu kuangkat. Ku letakkan bebannya di atas bahu. Ada yang kering dan juga lembab. Tahi ayam yang bercampur dengan tanah, dan habuk-habuk kayu.. Setiapnya ada satu perasaan yang sama..

"wah, panas lagi tahi ayam ni"

sekian::

Monday, December 17, 2012

Menjadi DEWASA


Kerusi biru di tepi cermin itu menarik perhatianku. Unik, tersusun di situ bersama-sama kerusi yang lainnya. 
Meja-meja dan kerusi-kerusi kayu, banyak. Disusun disegenap penjuru tingkap. Dari bawah hingga ke atas, begitu banyak peralatan yang disediakan.. Daripada buku-buku, komputer, TV dan perhiasan yang ada. Semuanya untuk menjadi tarikan kepada manusia. 

Aku berada disitu, di satu sudut, hanya aku disitu.. Hanya kedengaran bunyi-bunyi pendingin hawa dan sesekali tapak kaki orang yang lalu. Itupun dapat dikira dengan jari. 


Disebelah kananku, kelihatan bangunan-bangunan yang tersergam, tapi masih juga kosong. Tidak kelihatan seorang manusia pun berjalan. Dari jauh kulihat bendera-bendera yang berkibar. Merah, putih, biru. Kuning dan juga biru.  Juga bukit-bukau yang bersusun-susun. Apakah dari utara ke selatan, atau timur ke barat. Awan-awan yang yang tenang berarak, perlahan.. Juga tak diketahui dari arah yang mana. 

Disebelah kiri pula, pantai yang menyegarkan. Barisan-barisan awan yang menutupi sinaran matahari. Kosong, masih juga kosong. Diteliti dan diltelti. Kiri, kanan, atas bawah. Hujung ke hujung pantai. Ya, kertas dinding yang cantik. Tiada yang kelihatan di situ. Maka yang menikmati suasana ini adalah insan disebaliknya.

Lelaki mahupun perempuan. Mencari-cari calon yang sesuai. Sebagai peneman dan sebagai kekasih. Disungguhi hingga terlupa perkara-perkara lainnya di dunia. Sesekali timbul kekecewaan dan bersedih. Juga yang sentiasanya bersuka gembira. Diabai  isi-isi rumah, tugas-tugas duniawi dan ukhrawi. Maka sebagai manusia, menjadi lumrah untuk menikmati segala isi alam, selagi masih di situ,selagi belum digulung, selagi sangkakala belum lagi ditiup.

Masihkah diingati dalam hari-hari berlalu, pemandangan-pemandangan yang masih misteri. Yang menjadi sebutan para nabi, juga 'alim ulama'. Digagahi dikejari insan-insan biasa, tidak punya pangkat dan harta, mungkin juga hanya selingan pada pandangan manusia. Kenikmatan yang luar biasa. Tiada tandingan walau dikumpul segala isi dunia. Daripada zaman yang mula sekali hingga zaman yang ke akhirnya.

Ataupun diambil segala yang ada didepan mata. Dan menunggu pada suatu yang membawa bahana. Juga tiada tandingannya.

Sudah dewasakah kita?
Semakin dewasa dan semakin bijak membuat pilihan? Atau semakin dewasa dan semakin jauh dari kebenaran dan menuju kemungkaran.


Mudah-mudahan, menuju ke jalan yang diredhai-Nya..
Selawat dan salam ke atas junjungan besar kekasih-Nya, Muhammad S.A.W

Insya Allah..


*akhirnya... setelah beberapa kali sangkut kat draft :)

Wednesday, March 7, 2012

Al-Ghoibu

Kebelakangan ini, aku banyak mendengar kisah-kisah ghaib. Kisah alam lain, dunia lain, makhluk yang berbeza.. Aku tersekat di tengah-tengah insan yang berlainan ilmu, pengetahuan, dan kelebihan.. Aku tiba-tiba teringat kisah yang berlaku lebih kurang tiga,empat tahun yang lepas..


"Sila, sila.. Sila masuk.. " seorang ustaz mempelawa kami duduk.

Waktu itu sudah hampir pukul 11 malam. Semua ahli kumpulan kami yang terdiri daripada 10 orang duduk dalam bulatan..

Maka, bermulalah sesi ta'aruf..

Setelah berbicara mengenai beberapa perkara, tiba-tiba ustaz tersebut bertanya

"Apa yang kamu tahu tentang perkara ghaib?"

Kebanyakan daripada kami menggeleng kepala..

"Hari ni kita akan lihat perkara ghaib. Mula-mula sekali saya nak seorang volunteer"

"Saya nak yang ikhlas. Betul-betul ikhlas."

Seorang kawan bangun menawarkan diri..

"Hmm.. Kamu tak cukup ikhlas ni.. Takpe la. Duduk, duduk.."

"Ok, apa kata kita cuba hilangkan kepala. Ok tak?"

Aku dan rakan-rakan mula rasa gelisah.. Apa yang ustaz ni cuba lakukan ..

"Kamu semua takut ke..? Ok, kalau macam tu kita cuba hilangkan yang kecil je. Jari kelingking"

"Tapi saya nak kamu semua sama-sama dengan saya sebut , 'Al-Ghoibu', 'Al-Ghoibu'. Boleh?"

Jari kelingking ok lagi kot. Cuba kalau kepala yang hilang, mesti seram.

"Ok. sekarang saya nak kamu semua pegang tangan dengan kawan-kawan kamu kuat-kuat.. Ingat, jangan lepaskan.."

Kami semua berpegang tangan dengan erat sambil menutup mata.. Kami mula resah memikirkan apa yang akan berlaku sebentar lagi.. Lebih-lebih lagi dengan suara ustaz yang serius.

Ustaz mengangkat kedua-dua belah tangannya seraya berkata

"Ok, sekarang sama-sama kita sebut Al-Ghoibu,Al-Ghoibu, Al-Ghoibu..." .

" Al-Ghoibu,Al-Ghoibu, Al-Ghoibu, Al-Ghoibu,Al-Ghoibu, Al-Ghoibu...!!!." jerit kami beramai-ramai..


"Haa.. tengok dah hilang..!!"

"Tengok, kan dah hilang" jerit ustaz tersebut.. Sambil kedua-dua jari kelingkingnya dimasukkan ke dalam lubang hidung..

Kami membuka mata dan terpinga-pinga.. Selang 2,3 saat, gelak tawa memenuhi segenap penjuru bilik yang sunyi.. Semua tergelak hingga terputus urat-urat saraf..


*cerita daripada rakan-rakan dan sahabat*



YaAllah , tetapkanlah hatiku,teguhkanlah imanku


Tuesday, February 21, 2012

story


Aku masih terkenang membunuh berpuluh-puluh semut yang berjalan dalam satu barisan.. Aku meniarap di atas lantai, memegang botol tak silap aku. Menggelek semua semut yang lalu.. Tapi aku sering lihat, banyak semut yang aku berjaya gelek berjalan kembali.. Bukan kepuasan yang aku cari, aku cuma rasa lebih hebat daripada semut. Aku anggap semut itu kecil dan tiada sumbangan dalam masyarakat sejagat.

Tapi kini semuanya sudah berubah.. Walau semut yang seekor pun akan dibiarkan.. Dibiarkan merayap kemana mereka suka. Tapi lipas dengan nyamuk memang tak boleh dimaafkan. Proses pembesaran mengajar aku bahawa setiap nyawa itu milik Allah.. Tidak boleh dibunuh tanpa sebab.

Proses kematangan mengajar aku bahawa tiada hebatnya Islam Melayu berbanding Islam India, Islam Cina dan Islam Bangladesh.. Hanya amal yang menentukan darjat seorang Islam. Masih aku teringat menengking seorang pengawal Nepal kerana merasakan Melayu lebih hebat. Kadang-kadang di masjid, aku masih terdengar orang bercakap tentang Islam Bangladesh "Ramai pula diorang hari raya ni. Orang dia je.. Penuh masjid."

Aku belajar mengenal jiwa manusia selepas aku belajar mengenal alam.. Pantang sekali aku orang yang membuang sampah mana-mana yang mereka suka. Aku sendiri pun susah nak merentap walau sehelai daun di dahan pokok.. Pada aku, orang yang tak mengenal alam, susah nak kenal jiwa manusia.. Tidak mengenal sensitiviti dan kurang menjaga perasaan.

Kalau manusia tak nak terima aku.. Biar aku kembali kepada alam. >.<"


Subhanallah.

Friday, February 17, 2012

gelak sorang-sorang

Kalau diminta cerita tiba-tiba..
Tiada apa yang muncul dalam fikiran..
Semacam zaman kanak-kanak tidak lengkap..
Seperti tiada kenangan..

Tidak seperti rakan lain yang punya cerita berjela..
Mampu mengingat setiap detik..
Seperti zaman kanak-kanak mereka yang punya..
Seperti aku hanya jadi pemerhati..

Tapi bila dikenang..
Aku sedar siapa aku di zaman kanak-kanakku..
Selain teman dan jiran selaku penghibur setiaku..
Aku sendiri penghibur diriku..

Tiada siapa yang tahu selain aku..
Betapa nakal, betapa jahat..
Tiada siapa yang tahu selain aku..
Tiada manusia lain..

*seronok bila boleh ketawa sorang-sorang :)

Tuesday, January 24, 2012

Sudahlah, jangan merajuk lagi


Pernah terlintas di fikiran, perasaan untuk menukar.. Daripada yang lama kepada yang baru. Apabila melihat rakan-rakan bersama model terBAHARU ( I prefer to use BARU =.='' ) masing-masing, hati semakin meronta-ronta. Minta agar segera ditukar.

Sejak itu, kepunyaan sendiri seperti diabaikan. Diletak bersepah di merata tempat. Dibiar kesejukan di waktu malam. Perasaan bosan mula timbul. Tiada kelas lagi kepunyaan sendiri. Aku perlukan yang baru. Dengan teknologi terkini. Dilengkapi perakam video, sensor yang tinggi, megapixels yang tinggi..

Aku bekerja separuh mati.. Siang dan malam.. err.. tak separuh mati kot.. Biasa-biasa je.. Berjimat tidak beringat. Biar kurang makan, janji hati puas. Bila cukup bulan, wang simpanan pasti ( Insya Allah ) mencukupi.

Tapi akhirnya aku sedar. Bukan jenama penentu segalanya. Bukan model terkini menjanjikan kepuasan. Apa yang penting adalah tangan yang memegang. Tangan yang beraksi. Biar pun bersama model yang lama, tidak mengapa. Yang penting, kepunyaan sendiri. Tidak pinjam dan tidak curi.

Kau yang pertama bagiku.. Akan kekal sebagai lagenda. Penuh nilai sentimental. Jangan risau. Nasib kau sudah diketahui.. Kau akan kekal disisi.. Selagi tidak rosak, selagi tidak hilang.. Sudahlah, jangan merajuk lagi :)


*padahal tak cukup duit nak beli kamera baru :p

Sunday, January 22, 2012

Janji bahagia



Kalau diikutkan, nak juga jadi profesional. Nak juga buat cari makan. Nak join photoshoot dengan member-member. Tapi tiap-tiap kali fikir balik, takpe la.. Belajar sendiri pun boleh.

Bukan tak nak jadi pro, bukan tak nak buat cari makan. Teringin sangat nak join photoshoot.

Dulu, kalau pergi mana-mana dengan member, semua gambar nak upload. Nak beritahu semua orang, apa yang kita buat. Tapi lama-kelamaan rasa macam tak perlu pun semua tu.. Cukuplah satu, dua gambar yang terbaik. Lain semua kita simpan sendiri.

Sebabnya..

Bila kita jadi pro, mesti nak kena ambil macam-macam gambar. Gambar orang kahwin, gambar orang tunang. Gambar majlis tu, gambar majlis ni..

Bila buat photoshoot pula, macam-macam gaya model tu kita nak kena ambil. Bukan apa, saya takde jiwa nak ambil gambar model-model yang bergaya depan kamera. Saya lebih suka gambar candid dan permandangan.

Tapi sebenarnya..

Saya lebih takut dosa kalau ambil gambar aurat orang yang terbuka kemudian pamerkan pada orang lain. Biarlah amatur selamanya, janji bahagia.


*aurat perempuan itu bukannya pada rambut sahaja dan lelaki pula bukannya tiada aurat.. :)

Sunday, October 2, 2011

gigilan..

Tangan menggigil. Tubuh menggeletar. Sungguh aku dalam suasana yang berbeza. Tidak seperti hari-hari semalam. Tubuh terasa hangat. Aku pasti berpeluh. Mengenang peristiwa El Nino di Perlis setahun yang lalu.. Dua, tiga helai baju ditukar sehari.. Berpeluh, sangat panas. Matahari membakar tatkala berjalan ke kelas.. Wah, panasnya..

Tapi kini kesejukan terasa melampau. Aku hampir tewas. Semakin perlahan jari-jemari, menaip papan kekunci.. Aku perlu segera.. Beredar dari situasi ini..




Sejuk gila library. Lain kali aku datang pakai jaket tebal-tebal..

:)