nuffnang

Sunday, April 14, 2013

Ada apa dengan Al-Quran?






Masihku ingat suatu ketika dahulu, disuruh mengaji Al-Quran oleh ibu. Sering kali juga dipantau oleh abang.

"Ajar pun nak marah-marah.." getus hatiku apabila Abang Long ku cuba membetulkan bacaan Muqaddam yang sedang ku baca. 

Pelajaran Al-Quran yang bermula di rumah seterusnya diajar di sekolah rendah. Masih juga kuingat sewaktu di sekolah agama. Belajar Al-Quran bersama kawan-kawan. Ah, pelajaran tajwid agak sukar bagiku. Tapi ku teruskan juga. Salah satu subjek yang tidak boleh tidak mesti aku lulus kalau mahu cemerlang di sekolah agama. 

Namun begitu, pelajaran tajwidku terhenti setakat darjah empat sahaja. Tidak sempat untuk aku mengambil peperiksaan akhir semasa darjah enam. Semuanya gara-gara mengikut keluargaku berpindah ke Pulau Pinang. Di Pulau Pinang, aku tidak masuk ke sekolah agama. Cukup sekadar mengaji di rumah. Itupun dipaksa oleh emak. Sambil aku mengaji di ruang tamu, emak akan mendengar bacaanku dari dapur.

"Haa.. macam mana baca tu..." tegur emak setiap kali bacaanku salah.
" Ah.. kacaulah emak ni.. " balas aku di dalam hati.

Aku bersyukur, selepas darjah enam aku dapat memasuki sekolah berasrama. Bukan mudah pada pandangan orang seperti bapaku mahu melepaskan aku ke asrama. Masih belum matang katanya. Tidak tahu itu. Tidak tahu ini. Aku diamkan saja.

Semasa di tingkatan satu, aku bersekolah di SMKA Nibong Tebal. Pernah dengar? Di situlah juga pertama kali aku berjumpa Ustaz Don. Ya, senior di sekolahku. Tapi hanya sekali. Itu pun kerana dia datang memberi ceramah. Ketika aku di tingkatan satu dia telah pun setahun atau dua tahun tamat sekolah menengah. 

Zaman sekolah paling menarik dalam hidupku. Hidup di asrama membuatkan hubunganku dengan Al-Quran bertambah erat. Pasti dibaca bila berkelapangan. Pagi, petang, dan malam. Aku mula menghafal surah-surah utama baik panjang mahupun pendek. Sering kali juga aku mengimamkan solat berjemaah. Tapi aku elakkan di waktu subuh, maghrib dan isyak. Membaca ayat Al-Quran menggunakan pembesar suara, hatiku jadi sangsi. Jantungku dup dap, dup dap. Ah, masih belum bagus hafalanku. Sering kali salah. Pernah sekali aku membaca Surah As-Sajdah, termasuk Al-Mulk dan masuk kembali ke As-Sajdah. Lantas ditegur selepas solat. 

Aku sudah lupa bila, tapi pernah sekali aku meninggalkan Al-Quran untuk sekian waktu. Berbulan lamanya.. Ya, zaman memberontak mungkin. Al-Quran juga meninggalkan aku. Bila aku kembali untuk membacanya. Agak susah bagiku. Aku menyesal. Lalu ku usahakan kembali membaiki bacaanku.

Kini setelah enam tahun meninggalkan sekolah menengah, aku masih menjaga hubunganku dengan Al-Quran.  Penting padaku menjaga hubungan dengan Al-Quran. Aku mempunyai sebuah Al-Quran berwarna kuning berukuran sederhana beserta terjemahan. Setiap kali kubaca, akan kutanda pada mana-mana terjemahan yang penting. Soal akhlak, hukum hakam, syariah, sejarah nabi-nabi dan pelbagai isu di dalamnya.

Ada apa dengan Al-Quran? 

Jawablah dengan hati. Kukuhkan dengan Iman :)



*dah beli buku tajwid baru. Best seller katanya.. Tapi belum sempat nak baca :p


































No comments: