nuffnang

Wednesday, May 15, 2013

Kalau dibilang kalau

Zaman nabi dulu.. kalau orang tak pergi solat berjemaah, Nabi suruh para sahabat kumpul kayu api dan bakar rumah mereka.. Kalau zaman sekarang ni, agak2nya rumah Tok Imam, Tok Siak, dengan Tok Bilal je yang tinggal.. 

Banglo-banglo, apartment-apartment atas bukit, kondo-kondo menghadap laut, rumah-rumah semi D, dengan villa-villa yang indah-indah..... semua habis kena bakar 

#muhasabah diri

Tuesday, April 30, 2013

4 am

Kipas berputar ligat di ruang tamu.. Tidak kalah. Dua kipas dengan kelajuan maksimum berputar. Sekujur tubuh disitu terbaring. Di atas tilam yang biasa. Cukup sekadar untuk mengalas badan. Tilam itu berukuran biasa. Standard nya untuk sebuah katil bujang. Ditarik ke ruang tamu. Kuasai kipas-kipas di situ. Ya siapa mahu lawan. Memang rutin biasa. Kipas dinding di bilik tidak cukup kuasa kuda mahu menyejukkan haba tiga orang manusia. 

Sekujur tubuh itu tidur. Terkadang terjaga. Berpusing kiri. Berpusing kanan. Semacam tidak selesa. Menyambung tidur juga walau separa sedar dan separa tidur. Dalam kedaan separa itu, bunyi kipas makin jelas. Terasa semakin laju. Semakin lama semakin laju. Laju dan laju.. Hingga tiba-tiba terasa suatu aura yang asing. Yang menaikkan setiap bulu roma. Setiap satu bulu roma berdiri tegak. Dari dada naik hingga kepala. Jantung umpama ternampak gadis idaman, yang tiba-tiba lalu melintasi. Atau mungkin lebih tepat, perasaan yang muncul bila rasa diperhati. Oleh sesuatu yang tak bisa dikesan pancaindera yang lima, tetapi yang enam.

Sekujur tubuh itu berjuang. Sesuatu cuba menguasai dirinya. Dicuba mengangkat tangan. Berat. Dicuba mengangkat badan. Berat. Mulut pula rasa terkunci. Tidak terkeluar kalimah-kalimah yang difikir. Terkatup rapat. Kalimah-kalimah Agung itu dibaca dalam hati. Dicuba sedaya upaya. Hingga akhirnya aura asing itu beransur hilang. Sedikit demi sedikit. Ah, lega. 

Mata dibuka. Empunya tubuh sudah sedar sepenuhnya.


Pintu bilik dibuka. Dua tubuh diperhatikan di atas katil masing-masing. Tidur nyenyak. 
Pintu ditutup kembali. Sekujur tubuh itu rebah semula diatas tilam diruang tamu. Di bawah kipas yang ligat berputar. Dengan kuasa maksimum. Dua buah kipas kembali dikuasai. Cuba untuk tidur kembali.


Bismillahirrahmanirrahim. Lalu tubuh itu tidur kembali. 

Sekian.



*Al-Fatihah buat arwah Tok Alang Madun yang meninggal dunia pagi ini jam 4.50pagi


Wednesday, April 24, 2013

Monday, April 1, 2013

KIsah Semangat


Pepatah Melayu ada menyebut, "Air yang dicincang tidak akan putus". Biar dicincang menggunakan pedang, biar dicincang Laksamana Melaka, air dicincang masih lagi bersatu. Masih lagi mengalir. Dari hulu ke hilir. Melalui bermacam rintangan di sungai. Dari mata air, melalui liku-liku sungai yang tajam. Yang lebar dan yang kecil. 

Kemudian air-air itu terus mengalir, laju dan semakin laju... Dan akhirnya menghampiri kawasan air terjun. Tiada berfikir untuk berpatah balik. Pasti akan melaui jalan itu. Berpegangan tanganlah molekul-molekul air itu. Melalui air terjun...

"Aaaaaaaaaa....!!!!!!!!" masing-masing menjerit.

Dugaan dalam penerjunan itu. Air-air itu ditiup angin.. Maka ada antaranya berterbangan dalam bentuk partikel-partikel air yang halus, terus beterbangan di tiup angin dan bertempiasan angkara deruan air terjun yang mengganas. Dan akhirnya hinggap di dahan-dahan pokok, batu-batu sekitarnya, juga melembapkan kawasan hutan berhampiran. 

Dan air yang jatuh pula terus terhempas ke atas air sungai di bawahnya. Juga yang menghempas batu-batu besar.

"Aduuh..!!" air dan batu sama-sama mengaduh.

Tetapi semangat air tidak terhenti disitu. Itu proses jutaan tahun. Diulang-diulang sekian lama. Dialir ke bandar-bandar, lalu ke bangunan-bangunan kerajaan, bangunan parti-parti pembangkang, kilang-kilang besar, kilang-kilang kecil, rumah-rumah pembesar, rumah-rumah saudagar dan petani kecil. Air-air itu terus lagi mengalir. Ke ladang-ladang, kebun-kebun besar dan kebun-kebun kecil. Tidak mengira pangkat dan harta, keturunan dan warna kulit. Juga agama. 

Air memberi kekuatan untuk terus hidup. Memberi sinar dan harapan. Memberi kesegaran dan kelegaan. Biarpun melalui pelbagai proses semulajadi dan modenisasi. Semangat air tidak pernah luntur. Masih setia. Untuk digunakan seluruh makhluk di bumi. Selagi masih ada bumi, selagi belum tiba hari tamatnya. Kekuasaan-Nya..

Semangat kita? :)






Monday, January 28, 2013

sehangat-hangat tahi ayam

Cuti sem tahun 3..

Panas, sangat panas.. Peluh yang mengalir terus membasahi muka, badan dan bajuku. Hari ini hari pertama..

"Ahh.. Patut bawak kain ni.." 

Aku terus mengangkat guni-guni berisi tahi ayam. Satu persatu.. Disusun diatas batas-batas yang dikira sebesar 'dua relung' di negeri Kedah ini. Aku tidak pasti ukuran sebenarnya. Jika dikira lebar, mungkin 20 meter. Panjangnya pula, sekitar 120 ke 140 meter. 

Ah.. Ini bukan mainanku.. Aku sungguh kepenatan. Memerhati dua orang rakan terus bekerja. Menyusun guni-guni tahi ayam di atas batas. Seorang merupakan sahabatku daripada sekolah menengah. Gigih. Inilah pilihannya.. Sebagai kerjaya mungkin. Setelah lapan bulan menjalani incubator sebagai seorang petani moden. Seorang lagi merupakan anak jati kampung ini. Sungguh, memang ini permainannya. Cekal, tampak berusaha demi mencari rezeki yang halal.

Titik-titik peluh. Membasahi bumi. Aku perlu segera mengangkat guni-guni yang selebihnya. Jangan dinampak seperti anak kota yang lemah. Mengalah sebelum mencuba.

Guni-guni tahi ayam itu kuangkat. Ku letakkan bebannya di atas bahu. Ada yang kering dan juga lembab. Tahi ayam yang bercampur dengan tanah, dan habuk-habuk kayu.. Setiapnya ada satu perasaan yang sama..

"wah, panas lagi tahi ayam ni"

sekian::

Monday, December 17, 2012

Menjadi DEWASA


Kerusi biru di tepi cermin itu menarik perhatianku. Unik, tersusun di situ bersama-sama kerusi yang lainnya. 
Meja-meja dan kerusi-kerusi kayu, banyak. Disusun disegenap penjuru tingkap. Dari bawah hingga ke atas, begitu banyak peralatan yang disediakan.. Daripada buku-buku, komputer, TV dan perhiasan yang ada. Semuanya untuk menjadi tarikan kepada manusia. 

Aku berada disitu, di satu sudut, hanya aku disitu.. Hanya kedengaran bunyi-bunyi pendingin hawa dan sesekali tapak kaki orang yang lalu. Itupun dapat dikira dengan jari. 


Disebelah kananku, kelihatan bangunan-bangunan yang tersergam, tapi masih juga kosong. Tidak kelihatan seorang manusia pun berjalan. Dari jauh kulihat bendera-bendera yang berkibar. Merah, putih, biru. Kuning dan juga biru.  Juga bukit-bukau yang bersusun-susun. Apakah dari utara ke selatan, atau timur ke barat. Awan-awan yang yang tenang berarak, perlahan.. Juga tak diketahui dari arah yang mana. 

Disebelah kiri pula, pantai yang menyegarkan. Barisan-barisan awan yang menutupi sinaran matahari. Kosong, masih juga kosong. Diteliti dan diltelti. Kiri, kanan, atas bawah. Hujung ke hujung pantai. Ya, kertas dinding yang cantik. Tiada yang kelihatan di situ. Maka yang menikmati suasana ini adalah insan disebaliknya.

Lelaki mahupun perempuan. Mencari-cari calon yang sesuai. Sebagai peneman dan sebagai kekasih. Disungguhi hingga terlupa perkara-perkara lainnya di dunia. Sesekali timbul kekecewaan dan bersedih. Juga yang sentiasanya bersuka gembira. Diabai  isi-isi rumah, tugas-tugas duniawi dan ukhrawi. Maka sebagai manusia, menjadi lumrah untuk menikmati segala isi alam, selagi masih di situ,selagi belum digulung, selagi sangkakala belum lagi ditiup.

Masihkah diingati dalam hari-hari berlalu, pemandangan-pemandangan yang masih misteri. Yang menjadi sebutan para nabi, juga 'alim ulama'. Digagahi dikejari insan-insan biasa, tidak punya pangkat dan harta, mungkin juga hanya selingan pada pandangan manusia. Kenikmatan yang luar biasa. Tiada tandingan walau dikumpul segala isi dunia. Daripada zaman yang mula sekali hingga zaman yang ke akhirnya.

Ataupun diambil segala yang ada didepan mata. Dan menunggu pada suatu yang membawa bahana. Juga tiada tandingannya.

Sudah dewasakah kita?
Semakin dewasa dan semakin bijak membuat pilihan? Atau semakin dewasa dan semakin jauh dari kebenaran dan menuju kemungkaran.


Mudah-mudahan, menuju ke jalan yang diredhai-Nya..
Selawat dan salam ke atas junjungan besar kekasih-Nya, Muhammad S.A.W

Insya Allah..


*akhirnya... setelah beberapa kali sangkut kat draft :)