nuffnang

Tuesday, April 30, 2013

4 am

Kipas berputar ligat di ruang tamu.. Tidak kalah. Dua kipas dengan kelajuan maksimum berputar. Sekujur tubuh disitu terbaring. Di atas tilam yang biasa. Cukup sekadar untuk mengalas badan. Tilam itu berukuran biasa. Standard nya untuk sebuah katil bujang. Ditarik ke ruang tamu. Kuasai kipas-kipas di situ. Ya siapa mahu lawan. Memang rutin biasa. Kipas dinding di bilik tidak cukup kuasa kuda mahu menyejukkan haba tiga orang manusia. 

Sekujur tubuh itu tidur. Terkadang terjaga. Berpusing kiri. Berpusing kanan. Semacam tidak selesa. Menyambung tidur juga walau separa sedar dan separa tidur. Dalam kedaan separa itu, bunyi kipas makin jelas. Terasa semakin laju. Semakin lama semakin laju. Laju dan laju.. Hingga tiba-tiba terasa suatu aura yang asing. Yang menaikkan setiap bulu roma. Setiap satu bulu roma berdiri tegak. Dari dada naik hingga kepala. Jantung umpama ternampak gadis idaman, yang tiba-tiba lalu melintasi. Atau mungkin lebih tepat, perasaan yang muncul bila rasa diperhati. Oleh sesuatu yang tak bisa dikesan pancaindera yang lima, tetapi yang enam.

Sekujur tubuh itu berjuang. Sesuatu cuba menguasai dirinya. Dicuba mengangkat tangan. Berat. Dicuba mengangkat badan. Berat. Mulut pula rasa terkunci. Tidak terkeluar kalimah-kalimah yang difikir. Terkatup rapat. Kalimah-kalimah Agung itu dibaca dalam hati. Dicuba sedaya upaya. Hingga akhirnya aura asing itu beransur hilang. Sedikit demi sedikit. Ah, lega. 

Mata dibuka. Empunya tubuh sudah sedar sepenuhnya.


Pintu bilik dibuka. Dua tubuh diperhatikan di atas katil masing-masing. Tidur nyenyak. 
Pintu ditutup kembali. Sekujur tubuh itu rebah semula diatas tilam diruang tamu. Di bawah kipas yang ligat berputar. Dengan kuasa maksimum. Dua buah kipas kembali dikuasai. Cuba untuk tidur kembali.


Bismillahirrahmanirrahim. Lalu tubuh itu tidur kembali. 

Sekian.



*Al-Fatihah buat arwah Tok Alang Madun yang meninggal dunia pagi ini jam 4.50pagi


Wednesday, April 24, 2013

Monday, April 1, 2013

KIsah Semangat


Pepatah Melayu ada menyebut, "Air yang dicincang tidak akan putus". Biar dicincang menggunakan pedang, biar dicincang Laksamana Melaka, air dicincang masih lagi bersatu. Masih lagi mengalir. Dari hulu ke hilir. Melalui bermacam rintangan di sungai. Dari mata air, melalui liku-liku sungai yang tajam. Yang lebar dan yang kecil. 

Kemudian air-air itu terus mengalir, laju dan semakin laju... Dan akhirnya menghampiri kawasan air terjun. Tiada berfikir untuk berpatah balik. Pasti akan melaui jalan itu. Berpegangan tanganlah molekul-molekul air itu. Melalui air terjun...

"Aaaaaaaaaa....!!!!!!!!" masing-masing menjerit.

Dugaan dalam penerjunan itu. Air-air itu ditiup angin.. Maka ada antaranya berterbangan dalam bentuk partikel-partikel air yang halus, terus beterbangan di tiup angin dan bertempiasan angkara deruan air terjun yang mengganas. Dan akhirnya hinggap di dahan-dahan pokok, batu-batu sekitarnya, juga melembapkan kawasan hutan berhampiran. 

Dan air yang jatuh pula terus terhempas ke atas air sungai di bawahnya. Juga yang menghempas batu-batu besar.

"Aduuh..!!" air dan batu sama-sama mengaduh.

Tetapi semangat air tidak terhenti disitu. Itu proses jutaan tahun. Diulang-diulang sekian lama. Dialir ke bandar-bandar, lalu ke bangunan-bangunan kerajaan, bangunan parti-parti pembangkang, kilang-kilang besar, kilang-kilang kecil, rumah-rumah pembesar, rumah-rumah saudagar dan petani kecil. Air-air itu terus lagi mengalir. Ke ladang-ladang, kebun-kebun besar dan kebun-kebun kecil. Tidak mengira pangkat dan harta, keturunan dan warna kulit. Juga agama. 

Air memberi kekuatan untuk terus hidup. Memberi sinar dan harapan. Memberi kesegaran dan kelegaan. Biarpun melalui pelbagai proses semulajadi dan modenisasi. Semangat air tidak pernah luntur. Masih setia. Untuk digunakan seluruh makhluk di bumi. Selagi masih ada bumi, selagi belum tiba hari tamatnya. Kekuasaan-Nya..

Semangat kita? :)