Lokasi: Berhampiran Hospital Ampang
Masa : Senjakala
*Kisah seekor ayam jantan.
Tersebutlah kisah di suatu desa, terdapat seorang petani yang memiliki beberapa haiwan ternakan. Haiwan ternakan itu terdiri daripada ayam jantan, itik dan juga lembu. Ayam jantan dan yang lainnya berkawan rapat.
Antara haiwan-haiwan ternakan ini, ayam jantan yang paling disayangi kerana mengejutkan tuannya pada setiap pagi. Dan tuannya pula akan mengejutkan ahli keluarganya yang lain. Ayam jantan sering dipuji oleh tuannya.
Apabila bertemu dengan itik dan lembu, ayam jantan suka berbangga dengan pujian yang diberi oleh tuannya. Akan tetapi, mereka tetap berkawan baik dan saling bertegur sapa.
Ditakdirkan suatu hari, ayam jantan terjumpa sebutir batu yang berkilauan. Ayam jantan percaya batu itu bukan batu biasa lalu mengambilnya. Batu itu merupakan batu permata. Ayam jantan bercadang untuk menyimpan batu permata tersebut.
Ayam jantan menyimpan batu permata tersebut di dalam mulutnya dan berjalan menuju ke reban. Dalam perjalanan, ayam jantan ditegur oleh itik tetapi teguran itu tidak dibalas kerana terdapat batu permata dalam mulut ayam jantan.
Setibanya di reban, ayam jantan mencari tempat yang sesuai untuk menyembunyikan batu permata tersebut. Namun, ayam jantan takut batu permata itu akan hilang jika disembunyikan. Lalu ayam jantan tetap bersama batu permata itu dan tidak tidur sehingga ke pagi. Akibat daripada itu, ayam jantan tidak berkokok pada pagi itu dan dimarahi oleh tuannya..
*Suntingan daripada cerita asal di 91.5FM
Pengajaran daripada cerita
1) Setiap perbuatan perlulah ikhlas tanpa perlu dibangga-bangga kerana orang mukmin itu sentiasa merahsiakan amalannya kerana mengharapkan balasan hanya daripada Allah.
2) Manusia pada kebiasaannya mempunyai ramai kawan dan teman. Namun, apabila mendapat nikmat seperti durian runtuh atau naik pangkat manusia sering melupakan teman-teman dan kawan di sekeliling. Nikmat ini tidak lain hanyalah nikmat Istidraj yang diberikan oleh Allah untuk menambah lagi kesesatan dan keangkuhan dalam diri manusia.
Firman Allah S.W.T
“ Biarkanlah Aku sahaja (wahai Muhammad) dengan orang yang mendustakan keterangan Al-Quran ini, Kami akan menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan), dari arah yang mereka tidak mengetahuinya. ”. (Al-Qalam :44)
*Semoga kita mensyukuri segala nikmat yang diberikan oleh Allah dan dijauhi sifat-sifat mazmumah
Selawat dan Salam Ke atas Junjungan Besar Kita Nabi Muhammad S.A.W
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ
No comments:
Post a Comment